Kepentingan Sabah, Sarawak terus diberi perhatian – PM

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 16 September – Kerajaan mengulangi jaminan akan terus memberi perhatian kepada isu berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob berkata, Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63, yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, pada 14 Disember tahun lalu adalah bukti kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan Kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

“Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara.

“Majlis Khas ini bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop; Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; barisan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Keluarga Malaysia untuk memperkukuh muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional sempena Hari Malaysia tahun ini.

“Tanggal keramat 16 September, wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan. Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post Jangan lupa datang awal ke Sambutan Hari Malaysia – KM
Next post Lelaki lemas cuba selamatkan kereta menggelongsor ke laut
Ubah saiz-+=