Kerajaan akan perkenal Program Subsidi Upah 2.0

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Sept. – Kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu majikan dan pekerja dalam sektor-sektor tertentu yang masih terjejas, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Program Subsidi Upah 2.0 itu dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

“Ciri-ciri utama program ini ialah subsidi upah diberi kepada majikan yang masih terjejas, iaitu syarikat yang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lepas,” katanya dalam pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Katanya ciri lain ialah subsidi upah diberi sehingga tiga bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja.

Perdana Menteri berkata permohonan bagi program ini akan dibuka dari 1 Oktober hingga 31 Disember.

Muhyiddin berkata beliau telah menerima pelbagai maklum balas berhubung Program Subsidi Upah yang akan berakhir pada 30 September ini.

“Antaranya daripada mereka yang tidak layak menerima Program Subsidi Upah kerana tidak menepati syarat kelayakan berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 April 2020.

“Bagi memastikan golongan ini juga tidak tertinggal, Program Subsidi Upah 2.0 akan dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan PERKESO sehingga 31 Ogos 2020,” katanya.

Beliau berkata bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah Program Subsidi Upah, mereka akan layak menerima subsidi upah sehingga enam bulan.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah memperkenalkan Program Subsidi Upah semasa PKP yang antara lain menyediakan bantuan bagi majikan tanpa mensyaratkan kehilangan hasil bagi syarikat kecil.

Katanya dengan peralihan kepada pelaksanaan PKPP, kebanyakan syarikat dapat beroperasi semula dan berniaga dengan giat.

— BERNAMA

Views:

290
Kongsi :
Previous post PM seru rakyat tolak tindakan jejas politik
Next post Kerajaan negeri sumbangan RM300,000 kepada 77 sekolah menengah
Ubah saiz-+=