Kerajaan negeri sumbangan RM300,000 kepada 77 sekolah menengah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 23 Sept. – Kerajaan negeri menyumbangkan RM300,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bagi menyuntik Program Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan oleh 77 buah sekolah menengah di negeri ini bagi tujuan memperkasa pembangunan akademik pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM di negeri ini pada Januari depan.

Katanya, ia termasuk penganjuran pelbagai aktiviti pembelajaran termasuk tuisyen mahupun bengkel kecemerlangan di sekolah.

“Meskipun unjuran pendapatan kerajaan negeri agak terkesan dengan pandemik Covid-19, namun dengan jumlah sumbangan sebanyak RM300,000 itu sedikit sebanyak boleh dimanfaatkan pihak sekolah membabitkan kecemerlangan pelajar khususnya bagi mereka yang bakal menghadapi SPM.

“Saya yakin pendidikan negeri di bawah pimpinan Exco Pendidikan dan Dr. Azam (Pengarah Pendidikan Negeri) sudah pasti menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan kedudukan kualiti pendidikan negeri berada di tahap yang terbaik atau kelas pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Profesionalisme Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka bersama warga pendidik Negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad dan Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata sumbangan itu turut diharapkan dapat meningkatkan kecemerlangan gred purata negeri dalam peperiksaan SPM tahun hadapan.

“Pada pencapaian SPM lalu kita berada di tangga keenam dan diharapkan dengan sumbangan itu ia menjadi galakan atau ‘catalyst’ kepada pencapaian pelajar pada tahun akan datang,” katanya.

Views:

402
Kongsi :
Previous post Kerajaan akan perkenal Program Subsidi Upah 2.0
Next post Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh – Muhyiddin
Ubah saiz-+=