Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Sept. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional masih teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah.

Katanya  Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan dakwaan berhubung mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan menurut proses dan kaedah yang ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

“Tanpa melalui proses itu, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

“Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin turut memohon rakyat bertenang menghadapi situasi terbaharu ini.

“Insya-Allah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan PN kekal berdiri teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Gabungan parti itu juga menyangkal dakwaan Presiden PKR berkenaan yang kononnya mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Alexander Nanta Linggi; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) Guan Dee Kohoi.

Menurut kenyataan itu, dakwaan Anwar tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang beliau lakukan berkali-kali sebelum ini.

“Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19,” kata mereka.

“Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Anwar dalam sidang media hari ini mendakwa mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Ketua Pembangkang itu juga berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.- BERNAMA

Views:

254
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri sumbangan RM300,000 kepada 77 sekolah menengah
Next post Majlis menghadap tangguh, Agong nasihat utama kesejahteraan rakyat – Istana Negara
Ubah saiz-+=