Kerajaan tidak pernah halang media lapor sebarang berita

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut baik Deklarasi Melaka yang diumumkan pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Hotel Hatten, di sini, hari ini.

Tegas beliau, kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita di negara ini.

Katanya, kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap semua yang dilaporkan oleh media sebelum tindakan susulan diambil untuk menyalurkan bantuan kepada Keluarga Malaysia.

Malah, beliau turut memberi jaminan tiada apa yang hendak disembunyikan kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara.

“Menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

“Saya yakin, langkah semak dan imbang terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan integriti dan kepercayaan orang ramai terhadap media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian HAWANA di Hotel Hatten, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari, barisan EXCO Melaka, ADUN Melaka dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post Deklarasi Melaka 2022
Next post Melaka sebagai Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia – PM
Ubah saiz-+=