Kerja pengindahan Simpang Ampat bermula tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

ALOR GAJAH 3 Dis. – Projek landskap dan pengindahan kawasan berhampiran Simpang Ampat, yang menjadi pintu masuk pelancong dari utara ke negeri ini akan dilaksanakan bagi meningkatkan imej Melaka sebagai sebuah negeri sejahtera pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar berkata, sebagai laluan utama ke negeri ini sudah pastinya pemandangan dan suasana yang menarik dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Taboh Naning berkata, sebelum COVID-19 kira-kira 10,000 kenderaan keluar dan masuk ke Melaka menggunakan Simpang Ampat pada Sabtu dan Ahad bagaimanapun jumlah itu sedikit berkurang susulan pandemik, namun ia tetap menjadi antara laluan utama.

LATIPAH (tengah) berbincang bersama Mohd Fadhil ketika melawat kawasan sekitar DUN Taboh Naning, hari ini.

“Seperti sedia maklum Simpang Ampat satu daripada pintu masuk ke negeri ini kerana bukan hanya jaringan jalan raya yang baik malah terdapat pelbagai kemudahan bagi memudahkan pelancong jadi saranan saya agar dapat diindahkan dengan tanaman bunga serta landskap.

“Pandangan saya selain penanaman pokok bunga di kawasan sekitar bulatan, pokok-pokok di bahu jalan juga perlu dicantas selain pokok yang sudah berusia juga perlu ditebang bagi mengindahkan lagi pemandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong Royong Perdana Pintu Masuk Negeri Melaka-Simpang Ampat dan hadir sama Yang Dipertua MPAG Mohd Fadhil Hassan.

Menurut beliau, kerja pengindahan serta memastikan kebersihan di kawasan pintu masuk Simpang Ampat terjaga juga dilakukan seiring dengan seruan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali supaya memastikan tahun hadapan Melaka ke arah negeri sejahtera.

“Dalam memastikan kebersihan Melaka terjaga khususnya di pintu masuk Simpang Ampat harapan saya supaya penggerak iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sentiasa memantau tahap kebersihan.

“Selain itu, kita turut mengalu-alukan pihak swasta untuk turut terbabit sama dalam kerja pengindahan ini dengan menyumbang fasiliti seperti kerusi,” katanya.

Sementara itu Mohd Fadhil berkata, bagi kerja pengindahan pihak MPAG akan melakukan baik pulih papan tanda serta merancang pembinaan pintu gerbang dan pemasangan lampu jalan jenis  diod pemancar cahaya (LED) .

Views:

2368
Kongsi :
Previous post 888,000 pekerja warga asing perlu disaring
Next post MEA mahu julang Esport di bumi Hang Tuah
Ubah saiz-+=