Kes demam denggi di Melaka masih terkawal

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TELOK MAS 10 Mei – Melaka berada pada kedudukan ke-13, iaitu negeri kedua terendah membabitkan kes demam denggi di negara ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia Dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, walaupun tahun ini kes demam denggi menunjukkan peningkatan 110 peratus, namun situasi itu masih terkawal berbanding negeri lain.

Katanya, setakat Januari hingga 6 Mei tahun ini, sebanyak 399 kes telah direkodkan di negeri ini.

“Jika dilihat jumlah kes satu Malaysia, Melaka menduduki tangga ke-13 berbanding negeri lain, dan jika dilihat pada minggu perbandingan dalam tempoh 1 Januari hingga 6 Mei tahun ini berbanding tahun lalu.

“Negeri ini masih merekodkan peratusan peningkatan yang rendah, berbanding negeri Perlis yang mencatat peningkatan kes 2,485 peratus,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut di sekitar kawasan Padang Temu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hee Sem berkata Melaka juga merekodkan satu sahaja lokaliti demam denggi yang masih aktif iaitu di Padang Temu (daerah Melaka Tengah) yang bermula sejak 27 April lalu dan dijangka tamat pada 22 Mei ini.

“Terdapat enam kes dilaporkan di lokaliti Padang Temu, membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 60 tahun.

“Kawasan Padang Temu dikategorikan kawasan hitam apabila merekodkan pertambahan dua kes hari ini, bagaimanapun jumlah kes itu akan direkodkan pada minggu ke-19,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata meskipun keadaan kes denggi di Melaka terkawal namun pelbagai usaha dilakukan untuk membanteras wabak berkenaan di negeri ini.

Katanya, antara langkah diambil adalah termasuk mengadakan gotong-royong perdana di setiap kawasan meskipun tiada kes denggi direkodkan supaya amalan ini diikuti segenap lapisan masyarakat di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

969
Kongsi :
Previous post Bapa dipenjara 36 tahun, 20 sebatan rogol dua anak
Next post Pemandu dipercayai mabuk rempuh lima kereta
Ubah saiz-+=