Kes rawatan tertunggak bukan COVID-10 di hospital berkurangan sebanyak 33.8 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengurangkan kes rawatan tertunggak bukan COVID-19 di hospital kerajaan sebanyak 33.8 peratus dalam tempoh yang singkat setelah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembedahan secara besar-besaran sejak akhir tahun lepas.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata sebelum itu, terdapat sejumlah 57,355 kes tertunggak bukan COVID-19 yang terdiri daripada 53,785 kes berasaskan surgikal dan 3,570 kes berasaskan perubatan dilaporkan pada 30 Sept 2021.

“Dengan beberapa inisiatif termasuk prosedur pembedahan secara besar-besaran yang dilakukan secara ‘bergotong-royong’ oleh KKM bersama dengan hospital swasta, jumlah kes ini telah dapat diturunkan sebanyak 19,392 kes atau 33.8 peratus kepada 37,963 kes pada 31 Dis 2021.

“Jadi melihat kepada ini, kita akan berusaha lagi mengurangkan angkanya dengan terus melaksanakan inisiatif sama di beberapa hospital termasuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan bagi disiplin neurologi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Berskala Besar Pembedahan Urologi (MUSI) di Hospital Selayang hari ini.

Beliau berkata pengurangan kes tertunggak yang dicapai turut disumbang oleh pendekatan KKM melaksanakan penyumberluaran perkhidmatan kepada hospital swasta sejak awal pandemik COVID-19 serta pembukaan semula dewan bedah elektif di hospital kerajaan secara berperingkat bermula Oktober tahun lepas.

Mengulas program MUSI, Khairy berkata KKM menyasarkan dapat menyelesaikan sebanyak 50 kes tertunggak melibatkan penyakit sistem urinari dan sakit tuan sepanjang tempoh empat hari program dilaksanakan bermula semalam.

“Berdasarkan (data), terdapat sebanyak 4,000 kes tertunggak urulogi dilaporkan pada Oktober 2021 manakala pada akhir Disember 2021, jumlah kes elektif ini yang masih menunggu pembedahan adalah 2,780 kes.

“Majoriti daripada kes yang masih menunggu untuk pembedahan ini pula berkaitan kes batu karang sama ada di buah pinggang, ureter atau pundi kencing dan kes pembengkakan yang bukan kanser atau BPH.

“Sekiranya dibiarkan terlalu lama, kes boleh menyebabkan pesakit mengalami komplikasi lain seperti jangkitan kuman dan kerosakan buah pinggang,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post 147 tan rampasan makanan disalur kepada zoo, penjara
Next post Lima pegawai MARA beri keterangan kepada SPRM
Ubah saiz-+=