Kesihatan mental kanak-kanak di Gaza kini di tahap kritikal – NGO

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

RAMALLAH, 13 Nov — Serangan tanpa henti rejim Israel di Semenanjung Gaza memburukkan lagi krisis kesihatan mental kanak-kanak, apabila tiada lagi perkhidmatan kesihatan mental, menurut organisasi bukan kerajaan Save the Children.

“Israel terus membedil ribuan kawasan awam di Gaza sejak sebulan lalu, termasuk sekolah dan hospital yang telah menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak,” menurut organisasi itu dalam laman sesawang mereka.

Sejak lebih sebulan lalu, 4,008 kanak-kanak terbunuh manakala 1,270 kanak-kanak lain hilang, dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Menurut Pejabat Penyelarasan  Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), infrastruktur awam terjejas termasuk 253 kemudahan pendidikan, 101 kemudahan kesihatan, 58 tempat ibadat, tiga kem pelarian dan lebih 40,000 unit kediaman.

Pakar perubatan di Gaza termasuk Medecins Sans Frontiers/Doctors without Borders menjelaskan bahawa kanak-kanak yang kehilangan anggota keluarga yang sedang dirawat semakin ramai dan mereka ini diletakkan di bawah kategori “WCNSF” (Wounded Child No Surviving Family), menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pakar kesihatan mental Save the Children memberi amaran bahawa konflik di Gaza telah mendedahkan kanak-kanak kepada trauma.

“Tiada tempat selamat, tiada lagi jaminan keselamatan dengan ribuan orang hilang tempat tinggal.

“Kanak-kanak menghadapi pelbagai gejala trauma, termasuk kebimbangan, ketakutan, bimbangkan orang yang mereka kasihi, mimpi ngeri, insomnia dan memencilkan diri,” menurut kenyataan itu.

Sejak sekatan darat, udara dan laut dikenakan pada 2007, hak kehidupan kanak-kanak di Gaza  sudah dirampas, dihimpit dengan keganasan dan tiada lagi kebebasan yang hakiki.

Laporan yang diterbitkan oleh Save the Children pada Jun 2022 menunjukkan bahawa kesihatan mental kanak-kanak sudah mencapai tahap kritikal.

Sebanyak 80 peratus kanak-kanak dilaporkan sering berada dalam ketakutan, kebimbangan dan kesedihan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

716
Kongsi :
Previous post Hospital Al-Shifa di Gaza tidak lagi berfungsi sebagai pusat perubatan – WHO
Next post MoT sokong inisiatif Kerajaan Negeri di LTAM
Ubah saiz-+=