Ketua Menteri berpuas hati persiapan pelancaran TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berpuas hati dengan persiapan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di perkarangan Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Pengkalan Rama pada malam 31 Disember ini.

Selain meninjau persiapan, Ketua Menteri turut memberikan beberapa pandangan dan cadangan untuk memastikan sambutan pelancaran TMM2024 berlangsung dengan penuh gilang gemilang.

“Perkarangan pejabat PPSPM ini tentu akan menjadi salah satu lokasi baharu yang cukup ikonik di Sungai Melaka Fasa 2, selain keindahan Sungai Melaka yang menjadi kebanggaan rakyat di Negeri Melaka.

“Ayuh orang Melaka, marilah kita beramai-ramai menyambut ketibaan pelancong ke Negeri Melaka sempena TMM2024. Mana Lagi?, Melaka Ler…,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Dianggarkan lebih 15,000 pengunjung luar termasuk pelancong asing dan rakyat Negeri Melaka akan hadir bagi memeriahkan pelancaran TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024.

Sambutan yang diadakan di Pejabat  PPSPM itu bakal berlangsung penuh gilang-gemilang dengan pelbagai persembahan dan pertunjukan menarik menandakan masuknya tahun penting bagi industri pelancongan Negeri Melaka.

Pelancaran TMM2024 itu bakal disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Antara acara menarik akan dibawakan pada malam penuh berprestij itu adalah pertunjukan belon udara panas, persembahan kebudayaan, selain nyanyian artis tersohor tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain dan ramai lagi.

Lebih menarik pelancaran TMM2024 pada malam ambang tahun baru itu juga boleh ditonton secara langsung di China.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

838
Kongsi :
Previous post Ejen insurans rugi RM333,600 ditipu pelaburan saham tidak wujud
Next post Tiga murid keluarga B40 terima bantuan persekolahan
Ubah saiz-+=