Ketua Menteri Melaka Ke-13 angkat sumpah esok

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 30 Mac – Ketua Menteri Melaka Ke-13  dijangka akan mengangkat sumpah jawatan itu pada majlis yang dijadualkan berlangsung esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, menerusi satu kenyataan memaklumkan ia adalah susulan peletakan jawatan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.

“Adalah dimaklumkan Yang di-Pertua Negeri Melaka telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali Sebagai Ketua Menteri.

“Sehubungan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembangaan Negeri Melaka Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Ketua Menteri Baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.

Menerusi kenyataan sama beliau turut memaklumkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat ketua Menteri Melaka Ke-13 dijadualkan pada 31 Mac (esok).

Majlis itu dijadualkan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka pada jam 3 petang.

Terdahulu semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan Sulaiman yang juga Adun Lendu telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, kelmarin.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2443
Kongsi :
Previous post PDRM nafi Ayob Khan miliki akaun TikTok
Next post 50 anak yatim teruja berbuka di hotel
Ubah saiz-+=