Ketua Polis Negara antara 695 penerima pingat darjah kebesaran Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 24 Ogos – Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai 695 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2021.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Acryl Sani dan Zamrose merupakan dua tokoh utama dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

ZAMROSE…terima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Gelaran berkenaan dianugerahkan sempena sambutan ulang tahun ke-72 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam hari ini.

“Seramai 14 individu menerima Darjah Cemerlang Seri Mahkota (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Dr Noor Zari Hamat.

NOOR ZARI dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Mahkota (D.C.S.M).

“Turut menerima darjah sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud, ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan lagenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tiga lagi individu dianugerahkan Darjah Seri Mahkota (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Darryl Goon Siew Chye, Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Anselm Charles Fernandis dan Pengarah Eksekutif PERODUA Auto Corp, Kazuyoshi Nagata.

Empat lagi individu dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.

“Senarai penerima darjah berkenaan adalah Penasihat Undang-undang Negeri Melaka, Abd Aziz Engan, Ketua ICT Melaka, Shamsudin Sharif dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Unit Dewan dan MMKN, Haelmy Mohd Hanifah serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Mustafa Musa,” katanya.

Kerajaan negeri turut menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka kepada pemain badminton negara yang juga anak kelahiran Melaka, Aaron Chia Teng Fong dan Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Ahmad Janius Abdullah.

“Sehubungan dengan itu, gelaran bagi Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Melaka bolehlah digunakan oleh penerima.

“Istiadat penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri Melaka akan diadakan setelah Melaka memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Selain itu, kerajaan negeri turut mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih teruk,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1492
Kongsi :
Previous post APM Melaka atur gerak pasukan bantuan pasca banjir ke Yan
Next post Semua agensi perlu main peranan promosi Melaka, tarik pelaburan – Tun Mohd Ali
Ubah saiz-+=