Keunikan Malaysia tambat hati pelancong asing

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 12 April – Keramahan, kerukunan rakyat Malaysia menambat hati pasangan pengembara dari Kanada untuk berpuasa dan menyambut 1 Syawal di negara ini.

Bagi Zaidi Abdellatif, 71, dan isterinya, Lanna Abdullah, 68, memilih untuk tinggal selama dua bulan di Malaysia bagi merasai pengalaman baharu.

Menurut Zaidi, dia mula jatuh hati pada Malaysia semenjak perkenalan dengan rakan-rakan dari Malaysia ketika melawat negara ini tiga tahun lalu.

“Satu pengalaman berharga apabila dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri di Malaysia.
Saya telah mengembara ke lebih 65 buah negara seluruh dunia, namun Malaysia tetap nombor satu di hati.

“Negaranya yang cantik, budaya yang pelbagai, rakyatnya yang ramah dan di sini semua bangsa boleh bersatu hidup harmoni.

“Isteri saya juga teruja, kerana kami menerima jemputan rumah terbuka di Melaka dan ia adalah pengalaman pertama melihat pelbagai kaum selain Melayu turut meraikan hari raya ini,” jelasnya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, semalam.

Sementara itu menurut Lanna, dia dan suaminya memulakan pengembaraan mereka dengan singgah ke negara sekitar Eropah, Turkiye dan menunaikan umrah.

Katanya, tidak seperti Malaysia mereka hanya tinggal maksimum dua minggu sahaja di semua negara yang disinggahi sebelum ini.

Kongsinya, mereka berdua memilih untuk tinggal dua bulan di Malaysia yang disifatkan jangka masa yang panjang kerana menyukai demografi dan geografinya yang unik.

“Ini bukan kali pertama kami berdua melawat Malaysia, apatah lagi Melaka, untuk suami ini kali keempat, saya sendiri sudah beberapa kali dan Melaka tetap cantik serta indah di mata saya.

“Minggu hadapan adalah minggu terakhir kami di Malaysia dan kami akan pulang menziarahi keluarga suami di Oman sebelum pulang ke tempat tinggal kami di Montreal, Kanada.

“Saya pasti akan datang lagi ke Melaka, kerana melawat Melaka bererti melawat Malaysia,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

77
Kongsi :
Previous post Pemandu kereta langgar mati warga Pakistan mengaku bersalah ambil dadah
Next post Wajib ‘singgah’ Banda Hilir kalau ke Melaka
Ubah saiz-+=