Kisah ketam inspirasi buka restoran ‘shellout’
PENGKALAN BATU 3 Mac – Mengenangkan bukan semua orang mampu menikmati makanan laut kerana dianggap makanan mewah telah mencetuskan ilham tertubuhnya Restoran Ezie Idaman Shellout.
Pemiliknya, Datuk Zulkifli Ibrahim berkata, atas faktor itu, dia mahu menjadikan makanan laut sebagai hidangan utama dengan menawarkan harga patut agar semua golongan mampu merasainya.
Katanya, perniagaan yang dibuka sejak tiga tahun lalu itu berkonsepkan santai dan makan yang mana nama restoran pula diambil daripada nama isterinya, Datin Nureziyana Kidon.
“Idea tercetus untuk buka restoran ini selepas berbincang dengan isteri, yang mana kami berdua bukan lahir dari keluarga yang senang dan zaman dahulu memang susah nak makan makanan laut, apa lagi nak merasa makan ketam, dahulu memang tidak mampu.
“Jadi apabila dah mengusahakan perniagaan sendiri, kami ada kemampuan sikit, kita pun buka restoran ini dan objektif utama adalah mahu berkongsi dengan masyarakat kerana kita menawarkan harga yang berpatutan
“Alhamdulillah bermula di Melaka hingga kini sudah tiga cawangan termasuk di Negeri Sembilan dan Sabah serta kesemua kedai berkonsepkan ‘shellout’,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zulkifli memaklumkan harga yang ditawarkan adalah serendah RM 54.90 untuk set dua hingga tiga orang dalam satu hidangan.
Kongsinya, sos istimewa menjadi antara ramuan rahsia ‘shellout’ berkenaan digemari ramai.
“Di sini, kami ada tiga cef yang berpengalaman untuk menyediakan sajian shellout dan semua hidangan itu turut disajikan bersama sos istimewa yang dibuat sendiri oleh isteri saya,” katanya.
Jelas bapa kepada empat cahaya mata itu, restorannya akan beroperasi setiap hari pada bulan Ramadan bermula dari jam 4 petang hingga 12 malam dengan menawarkan diskaun istimewa.
“Sepanjang bulan puasa ini kita akan beroperasi setiap hari dan diskaun sebanyak 10 peratus akan diberi kepada setiap pelanggan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.