KKM disaran buat kajian teliti berkaitan dos ketiga.

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 28 Sept – Rata-rata persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemilik pusat jagaan warga emas di negeri ini berpandangan bahawa pemberian dos ketiga masih terlalu awal dan perlu diuji keberkesanannya.

Pengarah Urusan Pusat Jagaan Mahligai Kasih Juju, Juliana Jaafar berkata, kerajaan sebaiknya menfokuskan keberkesanan dua dos vaksin yang telah diberikan kepada rakyat.

“Masih terlalu awal (pemberian dos ketiga), ramai lagi yang belum menerima vaksin dan kita masih tidak tahu keberkesanan vaksin yang telah diterima.

“Biasanya untuk tahap imuniti, ujian darah harus dilakukan dan dari situ kita boleh kenal pasti seseorang itu layak atau tidak untuk terima suntikan dos ketiga, tak boleh terus bagi je.

“Kementerian Kesihatan (KKM) harus mempelbagaikan kajian sendiri di Malaysia selain menjadikan kajian-kajian dari negara luar sebagai sokongan dalam menilai keberkesanannya,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan semua penghuni di pusat jagaannya telah lengkap divaksinasi dan sekiranya dos ketiga atau penggalak itu menunjukkan keberkesanannya, pihaknya bersedia memberikan penjelasan kepada ahli-ahli keluarga mereka.

PENGERUSI Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung, Marina Linda Danker.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), Marina Linda Danker berkata, pemberian suntikan penggalak ini masih terlalu awal, tetapi sekiranya arahan pengambilan suntikan dikeluarkan beliau akur.

“Bagi saya ia (dos ketiga) agak terlalu awal, tapi saya tidak pasti pendapat penduduk lain bersetuju atau tidak.

“Kalau KKM mengesyorkan ia baik untuk meningkatkan tahap sistem imun, kenapa tidak?

“Penduduk Kampung Portugis rata-ratanya telah lengkap divaksin dan sebilangan masih menunggu untuk dos kedua. Setakat yang saya tahu kami di sini tiada yang menolak untuk divaksin dan bersedia untuk ikut saranan KKM,” katanya.

SUNTIKAN vaksin diberikan kepada penduduk Kampung Portugis di Dewan Terbuka Kg Portugis. Foto – Marina Linda Danker.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Masyarakat Autisme Malaysia (NASOM), Dr Mazidah Said mempercayai bahawa pihak KKM telah pun membuat kajian mengenai dos penggalak ini sebelum memaklumkan kepada orang ramai.

“Saya percaya pihak yang pakar telah pun membuat kajian sepenuhnya mengenai suntikan dos ketiga ini.

“Sudah tentu mereka telah memikirkan bahawa keputusan pengambilan dos penggalak adalah terbaik buat golongan rentan.

“Kami ahli-ahli NASOM sudah mencapai 100 peratus kadar vaksinasi yang lengkap dan kami memang bersetuju sekiranya dos ketiga ini diperlukan untuk meningkatkan sistem imun badan anak-anak istimewa ini,” ujarnya ketika dihubungi MHI.

Beliau turut mengharapkan agar KKM dapat memberikan keutamaan kepada anak-anak istimewa ini untuk mendapatkan suntikan dos ketiga sekiranya mereka layak.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan pelaksanaan suntikan dos ketiga yang dijangka akan bermula pada awal Oktober kepada golongan yang berisiko tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post Inisiatif Melaka Milkbank salur susu untuk 901 kanak-kanak di Melaka
Next post Sindiket pengedaran dadah ahli keluarga ‘Geng Misai’ tumpas
Ubah saiz-+=