Sorting by

×

KOM tidak mahu ambil risiko anjur kejohanan buat masa ini

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kemungkinan tidak menganjurkan sebarang kejohanan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua bulan lagi susulan peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

KOM sebelum ini merancang untuk menganjurkan kejohanan tertutup pada Oktober, namun Pesidennya Datuk S.M Muthu menjelaskan bahawa badan induk sukan olahraga itu merasakan keadaan masih belum betul-betul selamat untuk menganjurkan pertandingan.

Keputusan kemungkinan dibuat pada mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan pada 24 Okt depan, sama ada menganjurkan kejohanan dalam skala lebih kecil dengan acara tertentu untuk memastikan atlet berada dalam keadaan baik menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet tukul besi negara Jackie Wong yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan balingan 68.22 meter, menjadi atlet pertama dijangkiti COVID-19 pada Mac lepas, dan menerima rawatan di Hospital Subu lebih 70 hari.

“Kami tidak mahu mengambil risiko kerana penganjuran kejohanan akan melibatkan banyak pihak termasuk atlet, jurulatih dan pegawai teknikal. Mungkin kami akan anjurkan kejohanan berasingan mengikut acara seperti kategori lompatan, larian dan balingan.

“Harapan kami, pada tahun depan, jika keadaan mengizinkan, kami bercadang untuk anjurkan dua kejohanan domestik pada setengah tahun pertama. Ia penting kepada atlet untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan kelayakan ke Tokyo dan Sukan SEA Vietnam pada November,” katanya kepada Bernama.

Muthu berkata atlet kurang  bernasib baik kerana tidak dapat menyertai mana-mana kejohanan sama ada peringkat domestik mahupun antarabangsa dalam masa terdekat susulan penularan pandemik COVID-19 yang berlaku secara global.

Olahraga Dunia mengumumkan tempoh kelayakan untuk atlet yang belum layak ke Sukan Olimpik Tokyo bermula pada 21 Dis depan hingga 29 Jun 2021.

Temasya Sukan Olimpik 2020 ditangguhkan kepada tarikh baharu iaitu pada 23 Julai 2021 berikutan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Views:

356
Kongsi :
Previous post Jeti Parit Kemang bakal dibina, mudahkan nelayan peroleh hasil
Next post PERKOBF mohon kerajaaaan bersama atasi isu ‘kontraktor’ warga asing
Ubah saiz-+=