Kongsi rezeki Inap Desa Rahmah

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 9 Mac – Mengetengahkan konsep berkongsi rezeki bersama golongan kurang berkemampuan, seorang pengusaha inap desa di Bukit Katil menawarkan pakej Inap Desa Rahmah serendah RM5 semalaman.

Pemilik Sarasera Homestay, Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman, 33, berkata dia tertarik dengan konsep Rahmah yang diperkenalkan kerajaan dan mengambil keputusan untuk menawarkan pakej berkenaan kepada golongan kurang berkemampuan, sekali gus dapat merasai percutian bersama keluarga.

Ujarnya, pengalamam hidupnya dalam serba sederhana termasuk membantu ibu menjual sayur di pasar mendorong dirinya untuk berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan.

“Saya terfikir apabila saya membuka inap desa sejak Januari lalu, niat saya untuk bersedekah juga kepada golongan bersasar, tambahan pula kerajaan memperkenalkan konsep Rahmah dengan harga RM5, jadi saya sahut cabaran itu untuk ditawarkan kepada golongan terbabit.

“Program ini dijalankan sejak Januari dan akan berterusan hujung bulan ini. Kita telah menerima banyak tempahan namun akan pilih yang benar-benar berkelayakan dengan menyediakan bukti mereka ini daripada keluarga kurang berkemampuan untuk menginap di inap desa itu dengan harga RM5 semalaman,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Wanita Pengguna Cakna, Bangkit Mendepani Cabaran Dunia sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia dan Hari Wanita Sedunia dan Pelancaran Inap Desa Rahmah, di sini, hari ini.

photo_2023-03-09_16-31-51
Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman

Terdahulu, majlis pelancaran Inap Desa Rahmah dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh yang turut dihadiri Exco Perpaduan, Penerangan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna), Datin Roszanina Wahab serta Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Nurul Himmah yang juga kakitangan hospital swasta berkata tawaran pakej itu bagaimanapun ditawarkan pada hari bekerja sahaja manakala hari Sabtu dan Ahad ditawarkan kepada pengunjung yang membuat tempahan menerusi beberapa aplikasi atas talian.

“Setakat ini, bagi pakej Inap Desa Rahmah yang ditawarkan sejak Februari lalu hanya satu keluarga sahaja terpilih dan pakej ini akan diteruskan sehingga hujung bulan ini.

“Harga sebenar inap desa ini RM650 semalam bagi hari bekerja manakala RM750 semalam bagi hari hujung minggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1325
Kongsi :
Previous post Melaka kekal rekod 100 peratus calon lulus UPKK
Next post Berita baik untuk guru JAIM bakal diumumkan
Ubah saiz-+=