Korban tiga lembu manfaat 300 asnaf, anak yatim

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Julai – Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan pada program Ibadah Korban anjuran JAPERUN Pantai Kundor, semalam.

Program yang diadakan di Kompleks JAPERUN Pantai Kundor itu dibantu oleh kepimpinan empat sayap UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor termasuk ketua cawangan dan pemimpin setempat.

Selain itu, ia turut mendapat kerjasama Rumah Anak Yatim Pantai Kundor, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Balai Polis Tanjung Kling dan Tanjung Bruas Port.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, program yang diadakan secara bergotong-royong itu bakal menjadi acara tahunan memandangkan ibadah korban merupakan sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang baligh, berakal, merdeka serta berkemampuan untuk melaksanakannya.

Katanya, agihan daging korban itu kemudiannya diagihkan kepada anak yatim, asnaf, ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan di DUN itu.

TUMINAH (kanan) menyampaikan sumbangan daging korban.

“Alhamdulillah, sebanyak 300 pek daging korban telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan di Pantai Kundor dengan kerjasama semua yang terlibat dalam majlis ini.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat. Semoga ibadah dan amal kebajikan yang dilakukan atas dasar keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT ini mendapat ganjaran pahala berlipat-ganda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1341
Kongsi :
Previous post 60 peratus penduduk Melaka guna air mentah Loji Air Bertam
Next post Masih setia jual teh tarik RM1
Ubah saiz-+=