Krisis kesihatan Covid-19 perlu respons pelbagai aspek

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 25 Julai – Krisis kesihatan COVID-19 memerlukan respons pelbagai aspek, dan kepentingannya untuk berada pada tahap tertinggi sepanjang masa, justeru kegagalan bukan satu pilihan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata dunia berharap Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan menawarkan jalan dan mengenal pasti pelbagai tindakan konkrit yang dapat mengatasi impak daripada krisis COVID-19.

Katanya ini merupakan peluang yang nyata dan penting kepada APEC untuk menunjukkan bahawa ia menepatinya.

“Keutamaan segera kita menyokong Deklarasi Memudahkan Pergerakan Barang-Barang Penting di APEC. Deklarasi ini merupakan petunjuk yang jelas kepada komitmen kita untuk memastikan barangan penting terus dapat diakses walaupun semasa krisis.

“Saya memahami bahawa konsensus mengenai deklarasi ini sukar dicapai untuk satu tempoh. Bagaimanapun, pada minggu ini, kita dapat bekerjasama dan, akhirnya, menemui penyelesaian yang dapat diterima oleh semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada mesyuarat digital pertama untuk menteri-menteri perdagangan APEC, yang dipengerusikannya di sini hari ini.

“Kedua, pegawai kanan kami telah mengemukakan cadangan untuk memudahkan pergerakan penting rakyat merentas sempadan, dalam APEC. Saya berharap kerja-kerja di peringkat pegawai dalam bidang ini akan dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata kemajuan telah dicapai dalam visi pasca 2020 dan berharap visi itu akan dimuktamadkan pada akhir tahun.

Mohamed Azmin berkata APEC perlu mencapai keseimbangan antara melindungi nyawa manusia dan melindungi sumber pendapatan, selain memastikan daya tahan ekonomi.

“Kita juga perlu menunjukkan komitmen yang lebih baik untuk memastikan peluang ekonomi, penyelesaian teknologi dan sistem penjagaan kesihatan dapat diakses dan mampu untuk semua orang, terutamanya mereka yang berada dalam sektor ekonomi bukan formal, kumpulan yang terpinggir serta wanita dan belia,” katanya.

– BERNAMA

Views:

233
Kongsi :
Previous post Perlu persetujuan pemilik tanah atasi banjir di Gadek
Next post Jangkitan Covid-19 terus meningkat
Ubah saiz-+=