Kumpulan kedua atlet sukan bola sepak terima vaksin pada Mei

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 27 April. – Kira-kira 70 atlet dan pegawai pembangunan sukan bola sepak negara yang akan menyertai aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 akan menerima vaksin pada Mei ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, setakat ini 264 daripada 4,000 atlet dan pegawai pembangunan sukan yang disenaraikan sudah menerima vaksin dos pertama pada 14 April lalu dan dos kedua vaksin itu akan dijalankan pada 4 Mei ini.

Katanya, jumlah selebihnya akan menyusul secara berperingkat mengikut keutamaan berdasarkan kejohanan sukan yang perlu dihadapi semua atlet dan pegawai terbabit.

“Sesi pertama seramai 264 atlet, pegawai sukan, jurulatih dan pegawai perubatan termasuk Menteri Belia dan Sukan sendiri sudah menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

“Kumpulan kedua pula pada Mei ini iaitu sehari selepas kumpulan pertama selesai menerima dos kedua vaksin dan kumpulan itu adalah pasukan bola sepak kebangsaan yang akan bertolak menyertai kelayakan Piala Dunia 2022, membabitkan kira-kira 70 atlet dan pegawai sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program pelepasan Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 di pekarangan Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini, yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi atlet yang tidak disenaraikan dalam 4,000 individu itu akan diterima berdasarkan pendaftaran mereka menerusi MySejahtera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post PKPP di Melaka, 8 negeri dilanjutkan sehingga 17 Mei
Next post Rentas negeri untuk sambut raya masih tidak dibenarkan
Ubah saiz-+=