Lahirkan nelayan moden, berdikari

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Jun – Nelayan di Negeri Melaka khususnya mereka terjejas akibat aktiviti penambakan laut akan dibimbing agar mampu berdikari dan membina kekuatan ekonomi sendiri.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha itu perlu diaktifkan agar nelayan Melaka tidak lagi terlalu bergantung kepada hasil tangkapan sebagai punca pendapatan utama mereka selepas ini.

Dr. Muhamad Akmal berkata, usaha itu adalah antara langkah untuk melahirkan nelayan konvensional yang jauh lebih moden di Negeri Melaka.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan tidak pernah bersikap lepas tangan terhadap nasib nelayan di Melaka.

“Kalau dibiarkan apa akan jadi pada nelayan, mungkin hasil bimbingan diberikan nanti ada dalam kalangan mereka yang akan bergelar usahawan.

“Kita akan bantu mereka menjadi jadi lebih moden, tidak mustahil selepas ini ada yang guna bot lebih besar untuk pergi jauh ke tengah laut, hasil tangkapan juga mampu ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Program Dialog Bersama Nelayan dan Penyampaian Bantuan One-off yang turut dihadiri Timbalannya Low Chee Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi@ Mohd Hashim, di Japerun Pantai Kundor, di sini, semalam.

Menurutnya, nelayan terjejas boleh mengenal pasti produk atau aktiviti ekonomi yang sesuai untuk dibangunkan di kawasan mereka.

Dr. Muhamad Akmal berkata, Kerajaan Negeri akan membantu mereka seperti pelaksanaan Projek Ternakan Kerang di perairan Merlimau.

“Contoh kalau hendak masuk ke dalam sektor pelancongan, perlu kenal pasti apa yang sesuai. Begitu juga kalau berminat dalam sektor pertanian perlu tahu apa yang hendak dilaksanakan.

“Malah pembangunan sekitar seperti pembinaan pelabuhan, mesti memberi limpahan rezeki kepada nelayan, mungkin 20 atau 30 peratus peluang pekerjaan diberikan kepada anak-anak nelayan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1038
Kongsi :
Previous post Polis tahan penganggur pecah masuk tadika
Next post Cadang pasang GPS pada bot nelayan
Ubah saiz-+=