Laksana ‘no right turn’ di lima lokasi baharu

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 17 April – Pelaksanaan ‘no right turn’ di negeri in bakal diperluas ke lima lagi persimpangan utama, menjelang Jun depan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pelaksanaan itu adalah susulan kejayaan dan impak positif daripada empat inisiatif ‘no right turn’ tahun lalu.

“Fokus kita pada tahun ini adalah untuk melaksanakan lima lagi ‘no right turn’ di persimpangan utama yang dikenal pasti.

“Ia akan dilakukan secara berperingkat seperti sebelum ini dan kita jangka akan bermula Mei atau selewat-lewatnya pada Jun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, pelaksanaan ‘no right turn’ itu hanya membabitkan persimpangan sekitar daerah Melaka Tengah.

“Lima lokasi yang sudah dikenal pasti dan akan dilaksanakan ‘no right turn’ bagi tujuan penyuraian trafik adalah tiga di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) serta dua lagi di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA),” katanya.

Jelasnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kini dalam proses menyelesaikan pembinaan struktur kekal di empat persimpangan ‘no right turn’ yang dilaksanakan pada tahun lalu.

“Daripada empat persimpangan itu, satu iaitu di Lebuh SPA di Persimpangan Stadium Hang Jebat sudah selesai dan ianya akan dilakukan secara berperingkat.

“Sekarang ini di persimpangan ‘no right turn’ sedia ada kita hanya gunakan kon dan penghadang plastik, untuk itu kita akan tukar kepada binaan kekal atau batu selain turut akan dibuat adalah ‘road line’ baharu.

“Kerja-kerja ini kita jangka akan selesai sebelum inisiatif ‘no right turn’ dilaksanakan di lima lokasi baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

215
Kongsi :
Previous post Pertandingan Fotografi dan Videografi Menara Taming Sari 2024
Next post Masjid baharu untuk penduduk Serkam
Ubah saiz-+=