Langkah penting menuju negeri hijau dan mapan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

GADEK 18 April – Pembukaan kilang baharu syarikat peneraju industri kitar semula FE Green Pet (M) Sdn Bhd (FMGP) di Melaka dianggap sebagai langkah penting dalam mewujudkan dan menyediakan suasana mapan serta mesra alam di negeri ini pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembukaan kilang berkenaan juga adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030.

“Fokus Kerajaan Negeri adalah untuk membangunkan ekosistem rPET halal bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk PET (plastik Polietilena Tereftalat) kitar semula.

“Pembinaan kilang kitar semula berteknologi tinggi itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mengurangkan sisa plastik. Kewujudannya selepas ini diyakini bakal meletakkan Melaka sebagai destinasi utama untuk pelaburan hijau serta memacu pertumbuhan ekonomi,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang FE Green Pet (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian HICOM, Pegoh.

Hadir sama pada majlis itu Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin; Pengerusi FMGP, Donald Fan dan Naib Presiden Kanan FMGP, Eva Luo serta Pengarah MIDA Melaka Jaibalan Harirajan.

Ab Rauf berkata, FMGP yang juga anak syarikat Kumpulan Far Eastern (FEG) adalah pemain utama dalam sektor pembuatan polyester.

“Selain bahan PET, teknologi dimiliki FMGP juga digunakan untuk menghasilkan pelbagai lagi produk seperti tekstil, barangan rumah. Kilang baharu FMGP di Melaka juga membuktikan kesungguhan mereka dalam meningkatkan lagi amalan kitar semula di Malaysia,” katanya.

Antara pelanggan global syarikat berkenaan adalah Coke, Pepsi, F&N, NIKE, ADIDAS dan and Lululemon.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

329
Kongsi :
Previous post Melaka terima pelaburan baharu RM958 juta
Next post Jom meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Asahan malam ini
Ubah saiz-+=