Melaka terima pelaburan baharu RM958 juta

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

GADEK 18 April – Melaka terus terbukti sebagai destinasi pilihan syarikat antarabangsa apabila menerima pelaburan baharu berjumlah RM958 juta menerusi pembangunan kilang menghasilkan plastik Polietilena Tereftalat (PET) menggunakan bahan kitar semula di Taman Perindustrian HICOM, Pegoh, di sini, dijangka siap menjelang suku kedua 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaburan daripada FE Green Pet (M) Sdn Bhd (FMGP) merupakan anak syarikat kepada Kumpulan Far Eastern (FEG) berpangkalan di Taiwan dibangunkan di tapak seluas 14.56 hektar itu juga bakal mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan baharu.

Kata Ketua Menteri, selain pulangan dalam bentuk ekonomi kepada negeri, pelaburan antarabangsa itu juga bakal memberikan manfaat kepada tenaga kerja tempatan menerusi pemindahan teknologi dalam industri berkenaan.

“Pada masa sekarang, kadar pengutipan kitar semula (CFR) Malaysia untuk PET adalah antara 28 hingga 45 peratus. Tetapi dengan terbinanya kilang ini kita akan mempertingkatkan lagi pengumpulan bahan kitar semula ini kepaa 76 peratus menjelang 2030.

“Jadi saya berterima kasih kepada Far Eastern yang memilih Melaka. Terima kasih juga kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menyokong syarikat ini untuk bertapak di Melaka,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang FE Green Pet (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian HICOM, Pegoh, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin; Pengerusi FMGP, Donald Fan dan Naib Presiden Kanan FMGP, Eva Luo serta Pengarah MIDA Melaka Jaibalan Harirajan.

Ab Rauf, juga mengharapkan satu perkembangan yang baik untuk Negeri Melaka selepas kilang berkenaan siap dan bersedia untuk memulakan operasinya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1078
Kongsi :
Previous post Lebih 150,000 lawat 14 muzium di Melaka
Next post Langkah penting menuju negeri hijau dan mapan – KM
Ubah saiz-+=