Lebih 20 kedai di Jonker Street ‘gulung tikar’

1
9019
ANTARA premis yang menggantung papan iklan untuk mencari penyewa baharu

BANDA HILIR 7 Ogos – Lebih 20 kedai peniaga di Jonker Walk terpaksa ‘gulung tikar’ sehingga terpaksa keluar daripada menyewa kedai akibat penutupan operasi sektor pelancongan berterusan.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati kebanyakan kedai di Jalan Hang Jebat mempamerkan kain rentang dan papan iklan syarikat hartanah untuk mencari penyewa baharu.

Malah, suasana di jalan berkenaan dilihat suram dan sepi tanpa kehadiran pelancong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo berkata, situasi itu sekali gus mengakibatkan kerugian berjuta ringgit kepada pengusaha sektor pelancongan di kawasan itu.

ADA juga premis yang menggantung kain rentang untuk mencari penyewa baharu.

Katanya, sejak Januari tahun ini, hampir 95 peratus kedai terpaksa menutup operasi kedai berikutan tidak mampu menampung kos operasi dan kadar sewaan yang tinggi.

“Kawasan itu ‘mati’, mereka beri barang percuma pun langsung tiada orang kerana kawasan itu adalah kawasan pelancongan dan kebanyakan pelancong bertumpu di kawasan itu.

“Saya sudah buat tinjauan bulan lalu dan sekarang hanya tinggal lima peratus sahaja kedai yang kekal beroperasi daripada 100 keseluruhan kedai.

“Yang masih buka kedai francais seperti ‘Family Mart’ dan 7 Eleven malah farmasi seperti Watson dan Caring jug telah menutup operasi manakala kedai peniaga kecil barangan tempatan tidak dapat meneruskan perniagaan masing-masing.

“Berikutan itu, lebih 20 kedai sudah memasang ‘banner’ untuk mencari penyewa baharu namun sehingga kini masih belum ada penyewa,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

TIAN Loo melawat beberapa kedai yang menutup operasi perniagaan

Mengulas lanjut, Tian Loo berkata pihaknya melakukan perjumpaan bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Jonker Walk dan beberapa pengusaha kedai di kawasan itu bagi membantu untuk menyelesaikan masalah dihadapi.

“Mereka mengadu harga sewaan agak tinggi menyebabkan mereka tidak dapat menyambung perniagaan mereka,” katanya.

Berikutan itu, beliau memohon kerajaan mengurangkan kadar cukai taksiran kepada pemilik bangunan bagi membolehkan mereka mengurangkan bebanan ditanggung.

Jelasnya, meskipun ada beberapa pemilik premis yang mengurangkan kadar sewaan sehingga 30 peratus namun perkara itu belum memadai untuk pengusaha perniagaan meneruskan perniagaan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

1 COMMENT

Comments are closed.