Lebih 300 produk makanan, Hamidahku Industry bakal lebar sayap ke China

Masa Membaca:2 Minit, 56 Saat

UMBAI – Kemusnahan kedai hampir 90 peratus akibat kebakaran pada tahun 2002 tidak mematahkan semangat pengasas HamidahKu Industry Sdn Bhd untuk terus bangkit dan memasarkan jenama produknya ke seluruh Malaysia.

Pengurusnya, Atika Liakatali, 37, berkata, tragedi itu sudah tentu menjadi memori yang amat pahit untuk ditelan keluarganya kerana baharu sahaja memulakan perniagaan pada tahun 1998 dengan hanya satu lot tanah.

“Dulu hanya ada satu lot kedai, bila terbakar pada tahun 2002, kita kerugian hampir 90 peratus…masa tu kedai ‘total lost’, kediaman 20 peratus terbakar, tempat pembungkusan habis musnah dan kilang pemprosesan 20 peratus terbakar.

“Tapi pengasas (ibu dan ayah) saya tidak putus asa mula semula dari kosong dan sekarang alhamdulillah kita dah tiga lot tanah yang mana kita meliputi kedai, showroom atau bahagian barang-barang trading, kilang proses dodol dan wajik dan kediaman.

“Awalnya kita tiada kakitangan hanya proses dengan ahli keluarga, ibu dan ayah hasilkan produk setiap Isnin hingga Khamis dan akan menjaja dari kedai ke kedai setiap Jumaat hingga Ahad.

“Alhamdulillah, bangunan sekarang ini adalah yang siap diubah suai pada tahun 2021, sebelum ini keadaan kedai kita agak usang tapi sekarang ada bangunan baru lebih selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pengurus HamidahKu Industry Sdn Bhd, Atika Liakatali, 37 bersama sebahagian dari produk tradisional keluaran syarikatnya ketika ditemui di kedainya di Umbai, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Atika yang merupakan anak kedua dari enam beradik turut berkongsi rezeki keluarganya bersama peniaga kecil-kecilan yang ingin menjadikan kedainya sebagai ‘one stop centre’ (pusat sehenti) untuk memasarkan produk tradisional.

“Kita di sini sebagai ‘one stop centre’ yang kumpul produk-produk daripada negeri lain ke satu tempat di Melaka, kita bukan sahaja menjual secara runcit tetapi juga secara borong seperti pemborong dari kedai-kedai penjaja tepi jalan, pusat pelancongan, pasaraya besar dan kecil.

“Selain jana pendapatan dengan produk kita sendiri, kita juga membuka peluang kepada usahawan kecil, ibu tunggal, suri rumah yang ada produk tapi tak tahu nak pasarkan di mana, jadi kita bantu pasarkan produk mereka.

“Kalau nak kira jenis kuih di sini rasanya lebih 300 kuih-muih yang ada, fokus utama kita adalah memperkenalkan kuih tradisional seperti dodol dan wajik yang dihasilkan sendiri oleh kami,” katanya.

Katanya lagi, pelanggan yang datang ke kedainya bukan hanya dari Melaka dan negeri-negeri lain, malah turut mendapat sambutan dari Singapura dan China.

“Seluruh Semenanjung Malaysia kita dah pasarkan produk kita, ada juga ke Singapura… tapi sekarang kita dalam proses untuk eksport produk kita ke China memandangkan rakyat di negara itu sangat minat dengan produk dodol yang dihasilkan.

“Orang Cina ini memang sangat suka makan dodol, bila mereka datang ke sini (kedai) kita bagi dia rasa dodol memang dia akan borong dodol kita terutama dodol durian, jadi kita nampak peluang itu memang ada dekat sana (China).

“Saya kalau boleh memang nak satu dunia kenal apa itu dodol dan saya nak kekalkan nama dodol ini, kalau boleh jangan tukar kepada nama yang komersial kerana ia akan tenggelamkan identitinya yang tradisional,” katanya.

Tambahnya lagi, HamidahKu Industry turut melatih usahawan bimbingan mereka sendiri bagi menghasilkan kuih tradisional yang sukar didapati seperti kuih denderam, cakar ayam, tiram dan kapit.

“Kita akan latih usahawan bimbingan kita hasilkan kuih-kuih tersebut yang sukar untuk didapati di pasaran, kita nak usahakan sendiri pun tidak menang tangan jadi dengan ada 10 usahawan bimbingan kita ia mampu dihasilkan.

“Jadi bila mereka dah pandai dan berjaya hasilkan produk tersebut, kita akan beli produk itu untuk dijual di HamidahKu Industry,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2205
Kongsi :
Previous post DUN Gadek: Bubur lambuk diedar setiap ahad
Next post Hotel ada Eksekutif Halal layak dapat SPHM
Ubah saiz-+=