Lelaki bakar isteri hingga mati didakwa di mahkamah

Masa Membaca:59 Saat

MANJUNG, 18 Julai (Bernama) — Seorang pengawal kelab hiburan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan membakarnya, minggu lepas.

S. Gabriel, 28, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T.Kavitha. 

Mengikut pertuduhan Gabriel dituduh menyebabkan kematian E. Komathy, 33, di sebuah rumah di Ladang Waldbrook, Sitiawan pada 6.30 petang sehingga 7 malam, 10 Julai lepas.

Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rishan Kumar. Mahkamah menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Pantai Remis pada 12 Julai.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun selain sebatan tidak melebihi tiga kali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes. 

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

863
Kongsi :
Previous post PRK Kuala Terengganu serentak dengan PRN enam negeri pada 12 Ogos – SPR
Next post Mekanik maut nahas pokok tumbang
Ubah saiz-+=