Lelaki ingkar arahan, cuba rempuh polis direman empat hari

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR, 3 April – Seorang lelaki warga asing direman empat hari mulai hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan kes cubaan membunuh anggota polis dan ingkar arahan polis dalam satu insiden semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood dalam kenyataan hari ini berkata permohonan reman itu, dikemukakan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 307 dan 188 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata selain itu, siasatan ke atas suspek turut dibuat mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967, kerana melarikan diri daripada pemeriksaan serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan dan perjalanan diri yang sah.

Ku Marshariman berkata dalam insiden berkenaan, suspek yang berusia 40 tahun itu berjaya ditahan kira-kira 6 petang di kawasan Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam, Selangor selepas melarikan diri daripada diperiksa.

Beliau berkata polis turut merampas kenderaan dinaiki suspek iaitu sebuah kereta Proton Wira Aeroback untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata suspek sebelum itu telah diarahkan untuk berhenti bagi pemeriksaan, selepas dia didapati memandu dalam keadaan mencurigakan namun bertindak memecut dan cuba melanggar anggota bertugas, menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepas tembakan ke arah tayar kereta suspek.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi seminit 14 saat di media sosial memaparkan kejadian sebuah MPV polis mengejar kereta di sebuah kawasan perumahan, dan seorang pemandu kereta dilihat menghentikan kenderaan sebelum berlari keluar dan dikejar polis hingga berjaya ditangkap.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Tunai terawih 30 hari, ganjaran RM150
Next post Video dan gambar tular rakyat Malaysia samun warga Singapura adalah palsu
Ubah saiz-+=