Lelaki pakai gelang merah jambu ditahan 

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MELAKA TENGAH 29 Julai – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun yang didakwa tidak menjalankan kuarantin wajib selepas pulang ke Malaysia, minggu lalu.

Lelaki terbabit yang masih memakai gelang tangan merah jambu didakwa merayau di sekitar Kampung Bukit Tembakau, daerah Jasin selepas pulang ke tanah air dari Australia, minggu lalu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata pihaknya memandang berat terhadap individu yang melanggar perintah kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.

Katanya, berikutan menerima maklumat mengenai lelaki tersebut, pihaknya melaksanakan penguatkuasaan dengan menahan lelaki terbabit di rumah Ahad lalu untuk saringan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki tersebut didapati negatif ketika menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Walaupun negatif, dia perlu menunggu (keputusan ujian) saringan kedua dan apabila kedua-dua ujian saringan itu negatif, barulah individu terbabit boleh menanggalkan gelang tengan kuarantin.

“Yang boleh tanggalkan gelang itu adalah Jabatan Kesihatan, tidak boleh ditanggalkan dengan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ops Hari Raya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Memandu Tanpa Dadah di Melaka Sentral, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahil Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, susulan kejadian itu, lelaki tersebut turut diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumahnya selepas ujian saringan kedua Covid-19 dijalankan terhadapnya.

“Kita turut menjalankan proses sanitasi terhadap dua premis yang dipercayai antara lokasi dikunjungi lelaki terbabit.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Proton perluaskan rangkaian pengurusan kereta terpakai
Next post Kementerian Kesihatan Arab Saudi lantik ketua kesihatan untuk setiap 50 jemaah haji
Ubah saiz-+=