Lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan dijerut
BALING, 2 Okt – Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan leher dijerut manakala kedua-dua kaki dan tangannya diikat di rumahnya dekat Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata polis menerima panggilan daripada orang awam pada 3.21 petang memaklumkan mengenai lelaki warga tempatan itu yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa yang berusia 71 tahun tinggal bersendirian sejak isterinya meninggal lapan tahun lalu itu ditemukan di atas katil bilik utama dalam keadaan kaki dan tangannya diikat, manakala lehernya dijerut.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kesan pecah masuk pada rumah teres setingkat yang didiami mangsa…tiada rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa namun menerusi rakaman CCTV di rumah jiran, dua suspek lelaki dilihat keluar dari rumah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata berdasarkan rakaman CCTV itu, dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna gelap dipercayai keluar dari rumah mangsa kira-kira pada 3 petang.
“Siasatan turut mendapati seutas rantai emas dan satu bentuk cincin yang dipakai mangsa serta dompet milik mangsa telah hilang…kejadian disyaki bermotifkan samun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Shamsudin berkata susulan kes itu, dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 23 dan 25 tahun ditahan pada 3 pagi tadi untuk membantu siasatan.
“Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Sik pagi ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di talian 04-4708222 atau Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superintenden Tan See Yean di talian 019-6687687 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.