Lelong lembu jika pemilik tak bayar kompaun – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

JASIN 20 Disember – Haiwan ternakan terutama lembu yang dikesan berkeliaran di kawasan awam seperti jalan raya akan ditangkap dan dilelong jika pemilik gagal melunaskan kompauan dikeluarkan pihak berkuasa.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini bagi daerah Jasin sahaja sebanyak 336 aduan membabitkan ternakan berkeliaran diterima Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, angka itu menunjukkan hampir setiap hari MPJ menerima aduan mengenai ternakan berkeliaran.

“MPJ ada ambil tindakan, namun tetap berulang, jadi kita laksanakan penguatkuasaan dan lebih tegas mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Haiwan Ternakan (MPJ) 2012, dengan mengenakan kompaun RM1,000 bagi setiap seekor lembu ditangkap selepas dikesan berkeliaran di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Kita tidak akan tawarkan pengurangan kompaun kepada penternak dan mereka diberi masa lima hari untuk jelaskan denda serta menuntut semula ternakan. Selepas tempoh diberikan tamat lembu atau ternakan ini akan dilelong,” katanya.

Photo 2023 12 20 13 57 11
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika hadir pada Majlis Perasmian Usahasama Pengurusan Ternakan Terbiar Daerah Jasin di Vista Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Hadir sama Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Azahar Mohamed.
Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Usahasama Pengurusan Ternakan Terbiar Daerah Jasin di Vista Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Azahar Mohamed.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata tindakan tegas itu bertujuan untuk memberi pengajaran selain menyedarkan penternak agar lebih bertanggungjawab selain menguruskan ternakan masing-masing mengikut cara yang betul.

“Kalau lembu dalam kandang kita tidak ada masalah, tetapi apabila dibiar berkeliaran kehadiran ternakan ini membahayakan nyawa pihak lain terutama pemandu dan penunggang, jadi terpaksa ditangkap.

“Sekali lagi saya ingatkan, ini bukan mahu merampas harta atau lembu, tetapi apabila ternakan dibiarkan berkeliaran maka tugas kami adalah laksanakan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3189
Kongsi :
Previous post Putra Resort Pulau Besar dibuka Januari depan
Next post Pertandingan sukan lasak, memancing penutup tirai pelancongan Pulau Besar 2023
Ubah saiz-+=