Lesen Lynas akan ditarik, jika tiada PDF

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan lesen operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) akan ditarik balik sekiranya syarikat itu tidak memulakan proses pembangunan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) dalam tempoh setahun kelulusan lesen.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata sebagai pemegang lesen yang telah diperbaharui selama tiga tahun mulai Mac lalu, Lynas disyaratkan memulakan proses itu pada tahun pertama dari tarikh kelulusan lesen.

“Lesen ini telah diluluskan AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom) pada bulan Mac 2020. Sekiranya Lynas tidak dapat memulakan proses pembangunan PDF dalam tempoh satu tahun daripada keputusan untuk dilanjutkan lesen ini dibuat, yakni (pada) Mac 2021, maka lesen itu boleh ditarik balik,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Yeo Bee Yin (PH-Bakri) sama ada kerajaan akan menarik balik lesen Lynas sekiranya tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Terdahulu, menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) mengenai perlanjutan tempoh lesen operasi Lynas, Khairy berkata permohonan syarikat itu untuk membaharui lesen yang tamat pada 3 Mac lalu diluluskan AELB selepas mendapati Lynas mematuhi kesemua syarat-syarat tambahan lesen terdahulu.

Selain itu, pemeriksaan yang dijalankan oleh AELB juga menunjukkan bahawa Lynas telah mematuhi semua kehendak peruntukan dan syarat lesen yang dikenakan di bawah Akta 304, katanya.

— BERNAMA

Views:

2

Share and Enjoy !

Shares
Previous post SKTM2 terima murid dalam norma baharu
Next post ‘Terima kasih Mas Ermieyati’