‘Terima kasih Mas Ermieyati’

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat
TAMBY. Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 16 Julai – “Kami bersyukur kepada Allah dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin kerana membantu kami menambak semula pasir pantai yang terhakis,” kata nelayan, Tamby Jalil, 67.

Beliau mengucapkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Mas Ermiyati kerana menyediakan peruntukan menyewa jentera pengorek untuk mengorek pasir laut di gigi pantai sebelum menambak tebing pantai yang terhakis.

Ia membolehkan 100 nelayan menurunkan perahu ke laut selepas tidak mampu berbuat demikian akibat tebing tinggi yang terbentuk berikutan hakisan pantai di Kampung Tanjung Dahan, di sini sejak dua minggu lalu.

Melalui kerja menambak pasir, tebing setinggi kira-kira 1.2 meter itu sudah dilandaikan semula, sekali gus memudahkan nelayan menurunkan perahu ke laut.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) ke kampung itu hari ini mendapati kebanyakan nelayan sudah mampu menolak perahu menuruni tebing yang sudah dilandaikan untuk menyambung usaha mencari rezeki di laut, selepas tidak mampu berbuat demikian selama kira-kira 14 hari.

Tebing tinggi yang terbentuk akibat pukulan ombak besar dua minggu lalu sudah diratakan di kebanyakan kawasan, sekali gus, memudahkan nelayan menolak perahu masing-masing dan begitu juga dengan kerja menaikkan perahu ke pangkalan apabila pulang daripada menangkap ikan.

“Dua minggu lalu, hakisan serius menyebabkan pasir pantai dibawa masuk ke laut oleh ombak besar dari arah selatan dan lubang terbentuk, menyebabkan perahu tidak dapat diturunkan ke laut.

“Kami memohon peruntukan daripada Ahli Parlimen untuk menyewa jentera pengorek bagi mengambil pasir laut sebelum ditambak di tebing tinggi itu sebagai langkah sementara untuk membolehkan kami menurunkan perahu,” kata wakil nelayan, Tamby Jalil, 67.

Jelasnya, walaupun kerja menambak tebing pantai itu tidak mampu bertahan lama berikutan masih dipukul ombak, sekurang-kurangnya ia membolehkan nelayan turun ke laut mencari rezeki berbanding tidak mampu memastikan poket berisi berikutan tidak dapat turun ke laut sebelum ini.

Sehubungan itu nelayan merayu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapatkan peruntukan sama ada daripada kerajaan negeri atau pusat bagi menjalankan kerja membina benteng pemecah ombak dan menambak semula pasir pantai yang sudah hilang.

Beliau berkata, pembinaan benteng itu adalah langkah mengatasi masalah hakisan bagi jangka panjang manakala kerja menambak semula pasir yang sudah hilang dibawa ombak bertujuan mengekalkan pantai seperti sedia kala.

Timbalan Pengarah JPS negeri, Zulfazlie Mukhlas ketika melawat kawasan berkenaan sebelum ini dilaporkan berkata, jabatan itu sudah menghantar jurutera bagi membuat penilaian kerosakan pantai dan kerja pembaikan yang sesuai.

Untuk tujuan itu, JPS memohon peruntukan daripada kerajaan negeri bagi memastikan masalah berkenaan diatasi, selain menyelamatkan pantai daripada musnah manakala nelayan pula berpeluang meneruskan kehidupan seperti biasa, katanya.

Views:

352
Kongsi :
Previous post Lesen Lynas akan ditarik, jika tiada PDF
Next post Premis warga asing diserbu MPHTJ
Ubah saiz-+=