Lima fokus PSMJ 2035 versi 3

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR – Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang memasuki versi ketiga menyasarkan lima perkara utama bagi memastikan perancangan pembangunan Kerajaan Negeri berada pada landasan yang betul.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, lima perkara yang disenaraikan itu merupakan keterangkuman kepada 11 flagship utama PSMJ2035 yang perlu diberikan fokus lebih terancang bagi mencapai matlamatnya.

Sulaiman berkata, fokus pertama ialah memberi perhatian kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-Wez) yang dilihat berpotensi tinggi membantu meningkatkan ekonomi negeri.

“Perkara kedua ialah perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan serta menangani kesesakan lalu lintas. Masalah ini perlu diselesaikan, bukan sahaja setiap kali hujung minggu tapi hari biasa juga harus diberikan penekanan.

“Ketiga, menyegerakan Pendigitalan 4G dan 5G, kerana Melaka adalah negeri pelancongan. Dengan skala saiz negeri ini pendigitalan sepatutnya mendahului negeri-negeri lain.

“Diikuti keempat iaitu pemerkasaan sektor pelancongan kerana Melaka negeri pelancongan apatah lagi kita menuju kepada Tahun Melawat Melaka 2024. Jadi pemerkasaan sektor ini perlu diberi perhatian, manakala fokus terakhir adalah menjadikan Negeri Melaka kembali menjadi negeri terbersih dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan penutupan Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, di sini, 17 Februari lalu.

Hadir sama, Barisan Exco Kerajaan Negeri, Ketua Jabatan dan wakil agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, aspek kebersihan perlu diberikan secara menyeluruh, sekali gus mengembalikan semula kegemilangan Melaka sebagai negeri paling bersih.

Terdahulu pada majlis penutup itu turut berlangsung gimik Penyerahan Deraf Buku PSMJ 2035 Versi Ketiga disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari kepada Sulaiman.

Secara keseluruhan Sulaiman berpuas hati dengan setiap kandungan pembentangan disampaikan setiap portfolio kerana menyentuh semua spesifikasi dan penambahbaikan dalam PSMJ2035.

“Saya menyokong semua perkara dibentangkan dan kita berharap mana-mana penambahbaikan memerlukan peruntukan negeri perlu dilaksanakan segera bagi memastikan hasrat itu tercapai,” katanya.

Lebih menarik konvensyen selama tiga hari memasuki tahun ketiga perlaksanaan PSMJ2035 buat pertama kalinya disertai wakil rakyat daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kita berharap penganjuran ini diadakan setiap tahun demi menambah baik pelaksanaan hasrat Kerajaan Negeri bagi melestarikan Melaka sebagai negeri maju pada masa akan datang,” kata Sulaiman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1392
Kongsi :
Previous post Cipta bahan pembelajaran guna barang buangan
Next post Ketua jabatan, ketua polis daerah digesa perkukuh integriti
Ubah saiz-+=