Lima lemas dalam kejadian bot karam di Semporna, Sabah

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SEMPORNA, 15 April – Lima individu ditemukan lemas apabila sebuah bom pam membawa 20 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata dekat sini, lewat malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata 13 penumpang bot itu, yang dipercayai membawa beban lebih muatan, berjaya diselamatkan penduduk kampung manakala dua lagi masih hilang.

Beliau berkata mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki, berumur antara satu hingga 33 tahun.

“Semua 20 mangsa ini dipercayai warga tempatan dan mereka ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan pada 11.45 malam tadi dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Norrimi berkata operasi tersebut membabitkan 11 anggota serta dua aset bot APMM, selain lima anggota bomba berserta satu bot aluminium.

Katanya kawasan pencarian turut meliputi sepanjang Terusan Sigalong hingga Timbun Mata dan Pangkalan Hadapan Carilamat APMM dibuka di Jeti Pelancongan, Semporna.

Pulau Tandoan terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah terletak lebih 555 km dari Kota Kinabalu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post Kerajaan diminta percepat kelulusan pelaburan PTPTN – Wan Saiful
Next post Lapan jam bermandi peluh padam 10 rumah kedai terbakar
Ubah saiz-+=