Litar RC bertaraf antarabangsa dibina di Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 16 September – Sebuah litar sukan kereta kawalan radio jarak jauh (RC) bertaraf antarabangsa bakal dibina di Pantai Peranginan Tanjung Bidara tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hasrat membina litar di tapak berkeluasan kira-kira 0.809 hektar mampu menggamit pelancong dan membawa limpahan ekonomi penduduk di kawasan tersebut.

Jelasnya, pembinaan litar bertaraf antarabangsa itu sekali gus mampu menarik peminat sukan RC dan bertepatan dalam memperkasakan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita melihat bahawa sukan ini berpotensi untuk sub-sektor pelancongan sukan di Melaka dan boleh dikembangkan sebagai sukan bertaraf antarabangsa di negeri ini.

“Kita mencadangkan kawasan tapak parkir yang terletak di Pusat Peranginan Pantai Tanjung Bidara ini akan dibangunkan dengan kemudahan ini menjelang sekitar Jun tahun hadapan.

“Selepas ini Kerajaan Negeri akan mengadakan perbicangan lanjut bersama Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk merealisasikan hasrat ini agar sukan ini mampu membangunkan pantai peranginan ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di Balik Batu RC (BBRC) Kupang, di Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Khairul Adri Rosli serta tetamu lain.

IMG-20230916-WA0003
AB Rauf bergambar bersama peserta Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di Balik Batu RC (BBRC) Kupang, di Tanjung Bidara.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, litar yang bakal dibina itu akan dibangunkan mengikut reka bentuk dan piawaian antarabangsa.

“Kita akan meminta pihak berkaitan melihat reka bentuk pembinaan litar tersebut dari segi panjang trek selain dilengkapi kemudahan lain seperti meja pit, tempat mengecas dan bengkel RC.

“Saya akan mencadangkan supaya kawasan itu akan dijadikan kawasan litar baharu yang bertaraf antarabangsa untuk peminat-peminat RC di seluruh negara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post Lapan bas untuk Zon Bebas Kenderaan
Next post Bola sepak kanak-kanak jadi acara TMM2024
Ubah saiz-+=