LPM tawar 2,200 kediaman untuk orang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 18 Februari – Rebut peluang memiliki rumah kerana Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menawarkan sebanyak 29 projek perumahan dibuka untuk permohonan pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom berkata, sebanyak lebih 2,200 unit rumah tersedia buat orang Melaka yang terdiri daripada projek perumahan selesai dibina, sedang dalam pembinaan dan peringkat perancangan di ketiga-tiga daerah negeri ini.

Jelasnya, tawaran itu termasuklah projek Rumah Kos Rendah (RKR) di bawah pakej Rumah Bahagia yang berharga antara RM45,000 hingga RM70,000 seunit untuk isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan.

“Projek RKR ini ada di tiga lokasi iaitu Impiana Kesang, Bandar Satelit Sebang dan Pengkalan Impian Ayer Molek.

“Sebanyak 640 unit rumah daripada tujuh projek perumahan jenis Rumah Kos Sejahtera Rendah (RKSR) juga ditawarkan bagi isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM6,000 sebulan.

“Manakala kita masih menawarkan Rumah Belia Melaka (RBM) untuk rumah di bawah harga RM180,000 dengan diskaun 10 peratus, pengecualian duti stem dan pembayaran guaman,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambahnya, sebanyak empat projek Rumah Mampu Milik (RMM) dalam proses pembinaan di Melaka Tengah iaitu di Bachang Baru, Shang Height Residence Bukit Piatu, Tiang Dua dan Pengkalan Impian, Ayer Molek antara yang turut mendapat permohonan menggalakkan menerusi sistem dalam talian (online) LPM.

“Permohonan bagi RMM Jenis A amat menggalakkan berikutan harga rumah ditawarkan dengan antara RM180,000 hingga RM250,000 seunit.

“Sementara bagi Rumah Impian Jenis B buat pendapatan tidak melebihi RM10,000, LPM menyediakan tiga projek perumahan antaranya RMM Kota Sungai Rambai, RMM Tanjung Minyak Jaya dan RMM Pengkalan Impian (i-Molek).

“Terbaharu kita juga bakal melancarkan tapak projek perumahan baharu berhampiran Masjid Cina, Krubong pada Mac ini yang ini kena sama-sama nantikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4084
Kongsi :
Previous post Melaka sedia jadi tuan rumah kejohanan golf antarabangsa
Next post Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000
Ubah saiz-+=