Melaka sedia jadi tuan rumah kejohanan golf antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 18 Februari – Kerajaan Negeri bersedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran pertandingan golf termasuk bertaraf antarabangsa dalam usaha meningkatkan tahap sukan itu di Melaka.

Menyatakan komitmen itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Negeri Melaka mempunyai enam lapangan golf dengan empat daripadanya merupakan lapangan melibatkan 27 lubang iaitu AKCC, Tiara, Orna dan A’Famosa.

Sulaiman berkata dua lagi lapangan iaitu Kelab Golf Terendak dilengkapi sembilan lubang manakala yang terbaharu, Jasin Heritage Golf Club enam lubang.

“Kita sudi menjadi tuan rumah untuk pertandingan berskala besar. Malah saya turut mengalu-alukan sekiranya ada nama-nama besar yang ingin bermain di Negeri Melaka.

“Malah di Negeri Melaka juga setiap bulan ada sahaja pertandingan golf dianjurkan termasuk kejohanan sempena sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecermelangan Golf Remaja Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM), di Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, hari ini.

Katanya sukan golf juga dapat membantu Negeri Melaka dalam sektor pelancong, sekali gus dapat menjana pendapatan.

“Sukan golf ini adalah sebahagian daripada pelancongan sukan. Apabila bermain golf mereka datang dalam kumpulan ramai, kira-kira 100 orang.

“Malah mereka datang bukan berseorangan tetapi dengan keluarga dan secara tidak langsung hotel akan penuh begitu juga kedai makan,” katanya.

Menurutnya insentif disampaikan mampu menarik lebih ramai remaja untuk aktif dalam sukan golf, sekali gus boleh melahirkan lebih ramai pemain pelapis bagi Negeri Melaka.

Terdahulu, pada majlis itu tiga pemain remaja Melaka Wan Hasnul Daniel Wan Omar Zahdi, Muhammad Adif Haikal Md Hazan dan Wan Muhammad Danial Hafiz Wan Zain, masing-masing menerima insentif selepas berjaya mencipta kemenangan pada kejohanan disertai mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1232
Kongsi :
Previous post MTEX tarik lebih ramai pelancong Thailand ke Melaka – BPP
Next post LPM tawar 2,200 kediaman untuk orang Melaka
Ubah saiz-+=