MAFI kaji kesahihan jagung ungu mampu cegah kanser

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

RIM 21 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menjalankan kajian bagi menentukan kesahihan dakwaan yang mengatakan jagung ungu (purple corn) sebagai makanan anti kanser.

Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, buat masa ini belum ada sebarang penemuan untuk mengesahkan mengenai dakwaan tersebut, namun, pihaknya akan meminta agensi berkaitan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk melakukan siasatan terperinci.

Jelasnya, jika kajian menyeluruh telah dilakukan dan mengesahkan mengenai khasiat sebenar jagung ungu, ia akan menjadi satu berita baik bagi industri makanan negara sebagai satu lagi makanan kesihatan yang boleh dikomersialkan.

“InsyaAllah kita akan cuba usahakan untuk melakukan kajian yang mana saya sendiri akan maklumkan kepada jabatan dan MARDI sendiri untuk membuat pengesahan mengenai khasiat jagung purple sebagai makanan anti kanser.

“Jika kita dapati ia benar-benar mempunyai khasiat tersebut ia akan memberi satu impak sebagai satu makanan kesihatan dan ia berita baik untuk negara.

“Walaupun kita belum mengeksport jagung ungu ini ke luar negara, namun permintaan yang diterima dalam negara sendiri sudah cukup tinggi dan itu menunjukkan potensi besar terhadap tanaman jagung jenis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke ladang jagung seluas 18.6 hektar di Kampung Chinchin, di sini milik pengusaha jagung dari Koperasi Komong.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Jelas Ahmad, ladang jagung itu merupakan ladang pertama di Melaka mengusahakan jagung ungu di lot tanah seluas 3.2 hektar.

Selain jagung ungu, ujarnya, pengusaha ladang iaitu Noor Azmi Idris turut mengusahakan tanaman jagung manis sehingga menjadi pengeluar jagung terbesar di Melaka dan mampu menuai sebanyak 350,000 tongkol jagung pada satu-satu musim.

Justeru, beliau menyeru orang ramai khususnya anak muda di negara ini untuk menjadikan kesungguhan pengusaha jagung berusia 42 tahun di Chinchin itu sebagai suri tauladan yang baik untuk berjaya dalam bidang pertanian.

“Saudara Noor Azmi bermula dari bawah dan kini mampu mengembangkan bidang pertanian sehingga mampu mengusahakan tanaman jagung secara besar-besaran kini.

“Dia adalah antara kebanggaan bagi penduduk Jasin yang mana permintaan jagungnya bukan sahaja untuk pasaran tempatan, bahkan juga dieksport ke luar negara.

“Jadi, saya harap kejayaan itu dapat menarik minat usahawan tani lain khususnya golongan muda kerana bidang pertanian ini terbukti mampu memberi pulangan yang cukup lumayan,” katanya lagi.

Views:

1888
Kongsi :
Previous post Waspada hujan lebat di kebanyakan negeri semenanjung
Next post Galak usahawan tani muda tanam jagung
Ubah saiz-+=