Galak usahawan tani muda tanam jagung

0
74
AHMAD melihat hasil jagung di sebuah ladang tanaman jagung di Kampung Chinchin.

RIM 21 Nov. – Usahawan tani muda di negara ini digalak menceburkan diri dalam bidang tanaman jagung memandangkan ia mampu memberi hasil yang lumayan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, potensi terhadap tanaman jagung kini cukup meluas memandangkan permintaannya yang cukup tinggi sebagai antara makanan sampingan popular bagi rakyat Malaysia.

Ujarnya, selain menjana pulangan lumayan, tanaman ini juga cukup mudah diusahakan memandangkan ia mampu dituai dalam tempoh masa yang singkat.

“Saya difahamkan melalui tanaman jagung, ia boleh dituai tiga kali setiap tahun dan hanya memerlukan masa kira-kira 60 hari sahaja.

“Memandangkan jagung menjadi antara makanan sampingan di negara ini, ia mendapat sambutan dan permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan rakyat.

“Jadi, saya amat mengalu-alukan usahawan tani di negara ini terutama golongan muda agar kita dapat melahirkan lebih ramai pengusaha tanaman ini memandangkan ia mampu menjanjikan pulangan yang cukup lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang jagung yang diusahakan Koperasi Komong di Kampung Chinchin, di sini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Mengulas lanjut, Ahmad menzahirkan keyakinan dengan peningkatan daripada tanaman jagung dalam negara, Malaysia tidak perlu lagi mengimport jagung dari luar negara pada masa akan datang.

“Jika kita ada lebih ramai usahawan tani yang berminat dengan penanaman jagung, saya percaya selepas ini kita tidak perlu lagi mengimport jagung dari luar negara, bahkan kita mampu menjadi antara negara yang boleh mengeksport jagung ke luar negara suatu hari nanti,” katanya lagi.