Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pelepasan sementara pasport Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk beliau memohon pasport diplomatik bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan timbalan perdana menteri supaya pasportnya dikembalikan secara kekal kepada beliau, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas.

“Ini adalah permohonan pihak pendakwaan yang saya bersetuju bahawa tertuduh (Ahmad Zahid) berhak mendapat semula pasportnya bagi tujuan memohon pasport diplomatik dan selepas itu pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah.

“Permohonan pemohon supaya pasportnya dilepaskan secara kekal ditolak,” kata hakim.

Pada 26 Jan lepas, Ahmad Zahid memohon untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Hakim Sequerah dalam keputusannya berkata Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua individu adalah sama di sisi undang-undang.

“Tidak ada keistimewaan bagi individu atau golongan yang boleh melangkaui undang-undang,” katanya.

Hakim itu berkata mahkamah menyedari hakikat bahawa sebagai timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid mempunyai tugas rasmi untuk dilaksanakan, tetapi tugas itu tidak boleh bertentangan dengan tugas untuk pergi ke mahkamah kerana mahkamah juga mempunyai fungsi untuk melaksanakannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid supaya pasport antarabangsanya dikembalikan secara kekal kepada beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata selepas pasport diplomatik dikeluarkan, Ahmad Zahid perlu memulangkan pasport peribadinya kepada mahkamah.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan pasport diplomatik daripada Jabatan Imigresen, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

“Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

Prosiding pembelaan Ahmad Zahid telah ditetapkan bersambung semula pada 10 April. Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Gajah liar ancam keselamatan penduduk Kampung Lebur Jaya
Next post MBMB prihatin bantu lima anak yatim
Ubah saiz-+=