Majlis graduasi hanya di sekolah, bukan hotel

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LINGGI 30 Januari – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka akan mengeluarkan garis panduan baharu berhubung majlis graduasi atau majlis apresiasi yang dianjurkan di peringkat sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, garis panduan itu adalah sebagai pemakluman bahawa segala bentuk majlis graduasi atau apresiasi hanya diadakan di sekolah.

Jelas beliau, ketetapan itu dibuat memandang majlis keraian seperti itu sering dianjurkan di hotel-hotel yang menimbulkan rasa kurang senang segelintir ibu bapa.

“Saya perasan majlis (graduasi dan apresiasi) ini seolah-olah menjadi trend pada masa kini terutama membabitkan pelajar sekolah rendah yang akan naik ke sekolah menengah.

“Pada pandangan saya, majlis seperti itu boleh dianjurkan namun bukan secara besar-besaran dan saya tidak menggalakkan ia dianjur di hotel-hotel.

“Jadi, Jabatan Pendidikan akan keluarkan satu surat (garis panduan) agar majlis seperti ini hanya dianjurkan di sekolah dengan skala sederhana dan belanja yang minima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni calon SPM Negeri Melaka pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad.

Rahmad berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk penganjuran majlis seperti itu, namun ia seharusnya tidak membebankan ibu bapa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1413
Kongsi :
Previous post 12,900 calon duduki SPM bertulis di Melaka
Next post Tasik Ayer Keroh jadi ‘port’ karavan, riadah
Ubah saiz-+=