12,900 calon duduki SPM bertulis di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LINGGI 30 Januari – Seramai 12,900 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Negeri Melaka menduduki peperiksaan bertulis bermula hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah itu membabitkan 74 buah sekolah dan 103 pusat peperiksaan seluruh Negeri Melaka.

Menurut beliau, daripada 12,900 calon, 11,128 daripadanya merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan dan 667 lagi adalah calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selain itu, 21 calon pula dari sekolah agama negeri, 242 calon sekolah swasta dan 842 calon persendirian.

Selain itu, Rahmad berkata, seramai empat calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan.

“Di Melaka, terdapat juga 65 calon berkeperluan khas iaitu empat kurang penglihatan (rabun), sembilan kurang pendengaran (pekak, bisu) dan 52 lain-lain kekurangan fizikal (autisme, kecacatan pelbagai).

“Harapan kami di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri ialan anak-anak ini dapat menjawab peperiksaan dengan baik dan menunjukkan kecemerlangan untuk Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni calon SPM Negeri Melaka pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad.

Img 20240130 085052 695
Calon SPM membuat persiapan sebelum memasuki dewan peperiksaan sempena hari pertama Peperiksaan Bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 di SMK Rahmat, Kuala Sungai Baru. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Rahmad, sekiranya terdapat calon di Negeri Melaka yang dijangkiti COVID-19 sewaktu peperiksaan, mereka masih digalakkan menduduki peperiksaan.

Jelas beliau, sebuah bilik khas akan disediakan di setiap sekolah untuk mengasingkan pelajar yang dijangkiti COVID-19 bagi menduduki peperiksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

618
Kongsi :
Previous post Lelaki pukul warga emas berstatus OKU
Next post Majlis graduasi hanya di sekolah, bukan hotel
Ubah saiz-+=