Malakat Mall Masjid Tanah bakal hidupkan ekonomi masyarakat setempat

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MASJID TANAH 25 Julai – Cawangan kedua Malakat Mall di Masjid Tanah yang dijangka akan dibuka secara rasmi pada November depan bakal merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat di kawasan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, melalui pembukaan itu nanti, pihaknya menyasarkan membuka 50 lot kedai untuk dimanfaatkan usahawan di sekitar Melaka.

Katanya lagi, konsep perniagaan di bangunan seluas 40,000 kaki persegi itu juga sedikit berbeza dengan kebanyakan pusat beli belah lain yang mana ia mengamalkan konsep pemilikan bersama komuniti melalui tiga komponen iaitu usahawan, koperasi dan komuniti itu sendiri.

“Di sini bukan hanya ada ‘Hypermarket’, tetapi juga kita akan cuba wujudkan suasana pusat beli belah dan tempat ‘hangout’ untuk komuniti seperti kedai makan dan tempat lepak. Kita percaya selain komuniti setempat, Malakat Mall juga akan menjadi tempat tumpuan pelajar yang difahamkan ada seramai 30,000 orang di kawasan ini.

“Perancangan kita adalah untuk menyediakan sebanyak 50 lot kedai yang mana keutamaan diberikan kepada usahawan sekitar Masjid Tanah dan Melaka, amnya.

“Produk-produk yang dibawa masuk ke sini juga kebanyakannya datang daripada jenama tempatan dan kita tidak bergantung kepada jenama luar di pusat beli belah ini,” katanya ketika ditemui dalam sidang media dalam program Ayuh Bangkit Masjid Tanah.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, pihaknya juga kini dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan Malakat Mall di Bandaraya Melaka, namun perkara itu masih diperingkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan sebanyak 100 cawangan Malakat Mall akan dibuka di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang yang mana setakat ini beberapa negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Johor telah memberikan tawaran untuk membuka cawangan yang berikutnya.

Untuk rekod, Malakat Mall merupakan pusat beli belah yang mengumpulkan 100 peratus usahawan Muslim untuk berniaga di bawah satu bumbung.

Menariknya, usahawan yang berniaga di pusat beli belah ini tidak dikenakan bayaran sewa premis, sebaliknya hanya mengamalkan konsep perkongsian jualan (revenue sharing) berdasarkan peratus tertentu mengikut jenis perniagaan.

Ia sekali gus membantu usahawan untuk berniaga tanpa terlalu memikirkan mengenai bayaran sewa yang mahal, selain turut mengikut konsep pasar Islam yang diasaskan Nabi Muhammad SAW.

Views:

576
Kongsi :
Previous post Alam Flora buka Fasiliti Inovasi Kitar Semula pertama negara
Next post Azalina serah kepada mahkamah isu cabar pelantikan Speaker, Timbalan
Ubah saiz-+=