Alam Flora buka Fasiliti Inovasi Kitar Semula pertama negara

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA, 25 Julai – Alam Flora Sdn Bhd hari ini memperkenalkan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) iaitu pusat pembelajaran kitar semula yang pertama di Malaysia.

Terletak di Presint 5, Putrajaya, FIKS yang dilancarkan hari ini oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, berperanan menggalakkan masyarakat Putrajaya dan penduduk berhampiran mengamalkan kitar semula agar dapat mengurangkan sisa buangan yang dihantar ke tapak pelupusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan berkata FIKS menawarkan peluang kepada orang awam, terutamanya pelajar mempelajari proses kitar semula, pengasingan, pemulihan sisa dan bagaimana orang ramai boleh memainkan peranan dalam membudayakan amalan kitar semula.

“Antara kemudahan yang disediakan di FIKS ialah hab ilmu, Butik 3R, perpustakaan, pusat belian balik barangan kitar semula dan tempat permainan.

“Pusat ini turut menempatkan Fasiliti Kitar Semula Bersepadu seperti kawasan pengumpulan dan pemprosesan barangan kitar semula antaranya mesin pemampat serta mesin melerai plastik menjadi kepingan untuk dikitar semula,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kemudahan itu di sini.

Mohd Zain berkata terdapat juga kemudahan pengumpulan minyak masak terpakai dan pencerna ‘anaerobik’ yang memproses sisa makanan menjadi biogas dan baja kompos.

Beliau berkata pihaknya menetapkan sasaran awal pengurangan jumlah sampah yang dihantar ke tapa pelupusan sebanyak 15 peratus menerusi kewujudan FIKS tersebut.

FIKS dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula hari ini, kecuali Ahad serta cuti umum, dari 9 pagi hingga 4 petang.

— BERNAMA

Views:

1668
Kongsi :
Previous post 91 program dengan insentif RM13.9 bilion bantu usahawan
Next post Malakat Mall Masjid Tanah bakal hidupkan ekonomi masyarakat setempat
Ubah saiz-+=