91 program dengan insentif RM13.9 bilion bantu usahawan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MASJID TANAH 25 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menyediakan 91 program dengan insentif keseluruhan berjumlah RM13.9 bilion untuk membantu usahawan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, melalui inisiatif tersebut, pihaknya telah membantu lebih kurang 5.3 juta usahawan dan agensi di negara ini.

Katanya, antara inisiatif yang telah diberikan termasuklah dari segi pembiayaan, program dan latihan juga membabitkan koperasi.

“Sebenarnya banyak yang telah kerajaan lakukan untuk membantu usahawan. Tapi apa yang lebih penting ialah sikap usahawan itu sendiri.

“Jika mahu menjadi usahawan, seseorang itu harus ada daya tahan, kebersediaan dan faktor sekeliling yang saling menyokong supaya ekosistem usahawan dan koperasi berjalan seiring dengan apa yang dihasratkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Ayuh Bangkit Masjid Tanah di Malakat Mall, pagi tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ar Ismail Othman.

Mengulas mengenai pemilihan Masjid Tanah sebagai lokasi cawangan kedua Malakat Mall di Malaysia, Mas Ermieyati menyambut baik keputusan berkenaan dan menyifatkannya sebagai batu loncatan untuk membantu ekonomi masyarakat setempat di kawasan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berharap agar usahawan terutama dari pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mengambil peluang terbaik ini dalam mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

Views:

251
Kongsi :
Previous post Sulaiman santuni penduduk Gadek
Next post Alam Flora buka Fasiliti Inovasi Kitar Semula pertama negara
Ubah saiz-+=