Malaysia ambil bahagian dalam pameran maya ITB Berlin Now 2021

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 9 Mac. – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menerusi agensi Tourism Malaysia mengambil bahagian dalam pameran pelancongan terbesar dunia Internationale Tourismus-Borse Berlin (ITB Berlin).

Bagi tahun ini ITB Berlin membawa para peserta menyertai pengembaraan secara maya sepenuhnya menerusi acara yang dinamakan ITB Berlin NOW 2021 yang bermula hari ini sehingga Jumaat.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri semasa merasmikan acara secara maya hari ini berkata 30 pertubuhan dari Malaysia, yang terdiri daripada 10 pengusaha pelancongan, 10 hotel dan tempat peranginan, tujuh lembaga pelancongan negeri, dan tiga persatuan pelancongan, mengambil bahagian dalam pameran tahun ini.

“Dalam penyertaan lepas, beberapa inisiatif ditampilkan seperti perkongsian dengan syarikat penerbangan utama, pengendali sewaan pelancongan, persatuan European Travel Agents & Tour Operators Association (ECTAA), kempen taktikal dengan pengusaha pelancongan dan agensi pelancongan dalam talian (OTAs), bengkel, lawatan suai kenal dan media, serta pelbagai kolaborasi dengan media,” katanya.

Mengambil peluang daripada pengalaman perjalanan secara maya, Malaysia akan mewujudkan ‘virtual cafe’ buat kali pertama yang dinamakan Malaysia Truly Asia Cafe Corner yang akan mengetengahkan kelebihan produk pelancongan negara, seperti selaman skuba khusus bagi Orang Kurang Upaya, memerhati burung, dan pelancongan kesihatan.

Menerusi acara ini Tourism Malaysia berhasrat untuk berbincang mengenai kemungkinan kolaborasi dan perkongsian dengan menggunakan kelebihan spektrum perniagaan kepada perniagaan (B2B).

Cadangan pasaran bagi kolaborasi bersama ini melibatkan negara Turki, Jerman, Perancis, Sepanyol, Portugis, Itali, Moscow, Ukraine, Austria, Sweden, Republik Czech, dan Wilayah Balkan.

Selain sasaran bagi mempromosi dan meningkatkan perhatian ramai terhadap Malaysia dalam pasaran Eropah, Tourism Malaysia juga berhasrat meningkatkan ketersambungan daripada destinasi perjalanan jauh ke Malaysia, dan juga mengambil peluang daripada acara antarabangsa seperti ITB Berlin bagi menarik kehadiran pelawat mengunjungi negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post Suri rumah rugi RM50,000 ditipu ‘Tuan Lee’
Next post Melaka catat sifar kes baharu COVID-19 hari ini
Ubah saiz-+=