Melaka catat sifar kes baharu COVID-19 hari ini

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 9 Mac – Melaka merekodkan sifar kes jangkitan COVID-19 hari ini selepas dua hari berturut-turut kekal pada satu angka sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia berita baik buat rakyat di negeri ini selepas mencatatkan sifar kes terakhir pada 8 Disember 2020.

“Syukur alhamdulillah…bermaksud kosong kes itu rakyat Melaka semuanya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kesedaran rakyat semakin tinggi tentang pandemik COVID-19 ini.

“Sebenarnya kali terakhir kita kosong kes ialah pada 8 Disember 2020 lebih kurang tiga bulan yang lepas,” katanya ketika dihubungi MHI.

Rahmad berharap semua warga Melaka terus mematuhi SOP kesihatan termasuk menjaga jarak, jangan bersalaman dan sebagainya.

“Insya-Allah sekiranya sebahagian besar rakyat Melaka dapat suntikan vaksin Pfizer-BioNTech nanti kita dapat ‘hijaukan’ semula Negeri Melaka ini.

“Di samping kesedaran rakyat, kita juga jangan lupa kerja keras petugas barisan hadapan terutama di bahagian kesihatan. Mereka dah penat tapi alhamdulillah bila kosong kes ia melegakan semua pihak,” katanya lagi.

Tegasnya, semua warga Melaka jangan mudah alpa dengan keselesaan itu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kembalinya gelombang ketiga COVID-19 yang pernah berlaku.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

576
Kongsi :
Previous post Malaysia ambil bahagian dalam pameran maya ITB Berlin Now 2021
Next post Kuota haji, umrah dijangka dibincang Muhyiddin, Putera Mahkota
Ubah saiz-+=