Malaysia tidak sekat daging dari India kerana tiada kontaminasi jangkitan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PUTRAJAYA 3 Mei. – Malaysia belum memutuskan untuk menyekat kemasukan bekalan daging lembu dan produk berasaskan makanan dan ternakan yang dimport dari India kerana tiada kontaminasi jangkitan COVID-19 dilaporkan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menjalankan ujian makmal terhadap 400 sampel produk makanan dan ternakan sejak pandemik COVID-19 melanda negara dan keputusan ujian semuanya adalah negatif.

“Kita belum putuskan untuk hentikan import daging dari India atas dua sebab iaitu sumber daging yang diimport adalah hanya dari rumah sembelih yang telah diluluskan oleh kerajaan dan ia sentiasa dipantau.

“Keduanya, secara saintifik virus COVID-19 tidak boleh meresapi ke dalam sel haiwan dan pemantauan terhadap semua produk yang masuk mendapati tiada kontaminasi jangkitan COVID-19 terhadap produk serta bungkusannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program My Best Buy Aidilfitri oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di sini, hari ini.

Sementara itu, Norlizan berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan terus memantau produk makanan dan ternakan yang dibawa masuk ke negara ini.

“Setiap produk yang masuk akan diperiksa dengan sampelnya akan dibawa ke makmal… proses permeriksaan untuk kita tahu sama ada sesuatu produk itu mempunyai jangkitan tidak akan ambil masa tiga hari,” katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan kemasukan produk makanan dan ternakan dari negara luar kerana ia sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

282
Kongsi :
Previous post Hanya penerbangan kargo dari dan ke India dibenarkan sejak 28 April-Wee
Next post Neelofa dan suami dipanggil beri keterangan isu pelanggaran SOP PKPB dalam masa terdekat- Polis Nilai
Ubah saiz-+=