MARii lancar platform padanan pekerjaan dalam talian berkaitan sektor pembuatan.

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Jan. – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah memperkenalkan MARiiKerja, platform padanan pekerjaan dalam talian khusus bagi jawatan kosong yang terkait dengan sektor pembuatan.

Platform digital itu disasarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan graduan institut berasaskan kemahiran yang melalui program Sijil Profesional Yang Diterajui Industri (IPC).

MARii, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, IPC yang diperkenalkan pada 2012, adalah salah satu program pembangunan modal insan yang direka untuk melahirkan pekerja mahir melalui modul khusus serta latihan di tempat kerja.

Katanya, selepas menamatkan latihan di kelas selama 30 hari, pelatih akan dianugerahkan sijil, manakala sijil Program Perantisan Lanjutan IPC akan dianugerahkan pada akhir sesi latihan praktikal mereka selama lima bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Madani Sahari berkata, MARiiKerja antara usaha berterusan kerajaan dalam mendigitalkan proses mencari pekerjaan termasuk kemasukan ke program latihan MARii.

“Laman sesawang ini adalah pusat sehenti untuk mendapatkan maklumat mengenai program yang ditawarkan dan memudahkan prosedur permohonan.

“Walaupun negara berada di bawah pergerakan terhad, platform digital ini membolehkan penerusan usaha dalam menjana peluang pekerjaan baharu, sekali gus memastikan bekalan tenaga kerja mahir yang mampan bagi memenuhi permintaan sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya lagi.

Madani berkata agensi itu juga akan memperluaskan skop MARiiKerja sebagai inisiatif untuk mendigitalkan inisiatif pembangunan modal insan lain yang turut ditawarkan institut tersebut seperti program Pensijilan Kejuruteraan Industri Automotif, Program Graduan Perantis MARii dan Program Kejuruteraan Digital dan Prototaip, antara lain.

Untuk maklumat lanjut dan mendaftar dengan MARiiKerja, lawati https://www.mariikerja.my/.

Views:

853
Kongsi :
Previous post Peluang kerja, keselamatan dan kebajikan pekerja perlu seiring-Ismail
Next post Vaksin COVID-19: hukum ditetapkan selari pandangan tokoh ilmuan dan institusi fatwa dunia
Ubah saiz-+=